Khamis, 24 Oktober 2013

Ejaan Nama Tempat / Nama Khas



Pada asasnya, ejaan nama tempat dan negeri ditulis menurut arahan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri masing-masing.
 
1. Dalam Malaysia (Sebelum 1972)
           Nama tempat dalam Malaysia yang dibentuk sebelum tahun 1972 dikekalkan dengan ejaan cara lama. Contohnya:

  • Cheras         
  • Klang                    
  • Ayer Hitam                    
  • Kampong Nyior

 
2. Dalam Malaysia (Selepas 1972)
          Bagi nama tempat dalam Malaysia yang dibentuk selepas tahun 1972 digalakkan menggunakan ejaan baru. Contohnya:

  • Teluk Intan                    
  • Taman Bukit Cahaya                             
  • Teluk Air Tawar            
  • Kampung Baharu


3. Luar Negeri (Melayu)
           Nama tempat di luar negeri yang sudah biasa dieja dengan cara Melayu dikekalkan demikian. Contohnya:

  • Perancis                
  • Belanda                
  • Kanada                    
  • Japan                           

 
4. Luar Negeri (Antarabangsa)
           Nama tempat di luar negeri yang dieja dengan cara antarabangsa dikekalkan demikian. Contohnya:

  • England               
  • New York             
  • Cuba          
  • Bosnia-Herzegovina

 
5. Ejaan Nama Orang
           Ejaan nama orang menurut kehendak individu itu sendiri. Nama-nama yang telah wujud sebelum tahun 1972 dikekalkan dalam bentuk ejaan asal. Selepas tahun 1972, kita digalakkan menggunakan ejaan baru. Walau bagaimanapun, ejaan nama yang sah adalah seperti yang didaftarkan dalam sijil kelahiran dan dalam kad pengenalan.


Penggunaan Tanda Noktah



 1. Tanda Titik atau Noktah

Singkatan bagi gelaran, jawatan pangkat dan sisipan ditulis menggunakan titik. Contohnya:
          Dr. (Doktor)                           
          Sdr. (Saudara)
          En. (Encik)
          Y.A.B. (Yang Amat Berhormat) 
          Tn. (Tuan)      
          Y.M. (Yang Mulia)    
          Prof. (Profesor)            
          Kol. (Kolonel)


Singkatan Umum

Singkatan yang sudah umum ditulis dengan menggunakan titik. Singkatan tiga huruf atau lebih menggunakan satu titik sahaja. Contohnya:
         b.p. (bagi pihak)                     s.k. (salinan kepada)    
         u.p.(untuk perhatian)               m.s. (muka surat)
         dsb. (dan sebagainya)             dll. (dan lain-lain)
         hlm. (halaman)                        spt. (seperti)

Penggunaan Huruf Besar dan Huruf Kecil



 1. Nama Khas

Huruf pertama pada semua nama khas seperti nama pertubuhan, syarikat, jabatan, jalan, taman perumahan dan cogan kata hendaklah ditulis dengan huruf besar. Contohnya:
         Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
         Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
         Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
         Jalan Mawar
         Taman Tun Dr. Ismail

 2. Kata Sendi dan Kata Hubung

Huruf pertama bagi kata sendi dan kata hubung tertentu seperti yang, di, ke, dan, atas, dan lain-lain pada tajuk ditulis dengan huruf kecil. Contohnya:
         Dewan Bahasa dan Pustaka
         Sejarah Ekonomi dan Politik di Malaysia
         Diari dan Kalendar untuk Kakitangan Jabatan
         (tajuk surat / memo)

Khamis, 10 Oktober 2013

POLA AYAT DASAR



Menurut Tatabahasa Dewan, ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Walaupun terdapat pelbagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, dan dari segi panjang pendeknya dalam sesuatu bahasa, namun jika dikaji asas binaannya maka semua ayat itu boleh dikesan rangka dasarnya sebagai berasal daripada beberapa pola tertentu.
Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis, dengan berpandu pada jenis-jenis unsur yang hadir sebagai konstituen ayat-ayat itu (jenis-jenis subjek dan predikatnya). Konstituen subjek, pada umumnya, diisi oleh frasa nama, sementara konstituen predikat pula diisi oleh empat jenis unsur yang berbeza, iaitu frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FSN). Empat jenis unsur pengisi konstituen predikat inilah yang menubuhkan empat jenis pola ayat dasar bahasa Melayu seperti yang berikut:

i. Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
ii. Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS)

a.    Frasa
Frasa ialah unit tatabahasa yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih.
Frasa menjadi subjek atau predikat dalam binaan ayat serta menjadi konstituen  atau binaan kepada klausa.Frasa terbahagi kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Dalam setiap frasa ada perkataan yang yang dikenali sebagai inti frasa, iaitu perkataan yang paling penting dalam frasa. Contoh (berdasarkan Pola FN+FN) :
Kakak saya seorang pramugari = Kakak pramugari
Di sini ‘kakak’ dan ‘pramugari’ adalah inti frasa kepada kedua-dua pola tersebut.


Jenis perkataan yang menjadi inti frasa menentukan sama ada ia menjadi frasa
nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.

*      Frasa Nama (FN)
Frasa Nama yang terbentuk daripada sederetan perkataan mempunyai dua   
jenis hubungan antara perkatan-perkataan ini :
                        a)    inti & penerang
Contoh : Guru sekolah menengah itu sedang menasihati murid-muridnya (FN+FK)
                  Guru à inti ; sekolah menengah itu à penerang
                        b)    inti & inti.
Contoh : Ibu bapa perlu mendidik anak (FN+FK)
                  Ibu à inti ; bapa à inti.

Dalam binaan frasa nama, penyusunan setiap konstituen amat pentng untuk menentukan sama ada frasa nama itu digunakan dengan betul atau tidak. Oleh itu, peraturan Hukum D-M, penggunaan kata bilangan serta panggilan dan penerang mestilah sesuai dalam frasa nama.

 
*      Frasa Kerja (FK)
Frasa kerja terbina daripada satu perkataan sahaja (iaitu terdiri daripada kata kerja tak transitif) atau sederetan perkataan yang menjadi unsur predikat dalam ayat. Binaan frasa kerja terbahagi kepada dua :
a)      Frasa kerja yang tidak mengadungi objek dan tidak memerlukan kata
nama sebagai penyambung untuk melengkapkannya. Kata kerja di sini ialah kata kerja tak transitif.
Contoh : Adik menangis (FN+FK)
b)      Frasa kerja yang mengandungi objek selepas kata kerja untuk
melengkapkan frasa ini. Kata kerja di sini ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek yang terdiri daripada kata nama. Objek berkenaan boleh diikuti oleh penerang.
Contoh : Saya menangkap burung gagak di hutan. (FN+FK)  ;
                          burung gagak à objek
                          di hutan à penerang

*      Frasa Adjektif (FA)

Frasa adjektif boleh terbina daripada satu perkataan atau sederetan perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai inti. Frasa adjektif adalah unsur predikat dalam binaan ayat atau sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat  yang hadir selepas kata kerja. Manakala sebagai kata penerang, kata adjektif hadir selepas kata nama.
Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada satu perkataan sahaja adalah seperti malas, muram, dan kosong. Frasa adjektif juga boleh dibahagikan kepada dua golongan :
            a)    Kombinasi dua kata adjektif yang menekankan beberapa unsur:
Ø  keserasian makna. Contoh  : cantik molek, penat lelah
Ø  makna berlawanan. Contoh : baik buruk, kecil besar
Ø  keindahan bunyi ritma. Contoh : lemah longlai, kusut masai
            b)    Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif sebagai inti dan kata
                   nama sebagai penerang. Ia membawa dua maksud
Ø  keserupaan. Contoh : merah darah , hijau daun
Ø  kiasan. Contoh : panjang tangan, besar kepala

Dalam frasa adjektif, kata penguat boleh hadir dalam beberapa keadaan:
Ø  Di hadapan : paling degil, amat bijak
Ø  Di belakang : murah sekali, cepat benar
Ø  Secara bebas : amat cantik, cantik amat.
Ø  Secara berderetan : sungguh berani sekali, belum cerdik lagi
Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif hadir sebagai predikat, sebagai kata keterangan selepas kata kerja dan penerang selepas frasa nama. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif boleh mengalami susunan songsang. Contoh :
Rumah Ani amat besar sekali  à Amat besar sekali rumah Ani

*      Frasa Sendi Nama (FSN)

Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama
     dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Dalam binaan ayat
     biasa, frasa sendi nama menjadi predikat dalam ayat. 
Frasa sendi nama boleh dibentuk melalui empat cara :
Ø  Sendi nama dan frasa nama. Contoh : di pasar
Ø  Sendi nama, kata nama arah dan frasa nama. Contoh : di tepi pasar
Ø  Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan ayat komplemen. Contoh : ke dalam hutan untuk menangkap rusa.
(binaan ketiga ini memperlihatkan kita bahawa unsur kata nama arah dan ayat komplemen merupakan unsur pilihan)
Ø  Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan frasa keterangan. Contoh : di selatan negeri China pada tiap-tiap bulan.
(binaan keempat ini memperlihatkan unsur keterangan bersifat pilihan)

*      Pola 1: Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Ayat-ayat yang dibina berdasarkan pola ini menggunakan Frasa Nama ( FN ) sebagai subjek dan Frasa Nama ( FN ) sebagai prekikat.
Contah ayat bagi pola ( FN+FN ) :
Ahmad ialah guru.
Ahmad merupakan frasa nama begitu juga dengan guru.Ayat tersebut tidak menjadi terbitan kerana tidak mempunyai imbuhan.

*      Pola 2: Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Ayat-ayat yang dibina berdasarkan pola ini menggunakan Frasa Nama ( FN ) sebagai subjek dan Frasa Kerja ( FK ) sebagai prekikat.
Contah ayat bagi pola ( FN+FK ) :
Ahmad berlari.
Ahmad merupakan frasa nama manakala berlari merupakan frasa kerja iaitu
daripada kata dasar lari.

*      Pola 3: Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Ayat-ayat yang dibina berdasarkan pola ini menggunakan Frasa Nama ( FN ) sebagai subjek dan Frasa Adjektif ( FA ) sebagai prekikat.
Contah ayat bagi pola ( FN+FA ) :
Ahmad tinggi.
Ahmad merupakan frasa nama manakala tinggi merupakan kata adjektif atau pun kata sifat iaitu sifat Ali yang tinggi.

*      Pola 4: Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FSN)
Ayat-ayat yang dibina berdasarkan pola ini menggunakan Frasa Nama ( FN ) sebagai subjek dan Frasa Sendi Nama ( FSN ) sebagai prekikat.
Contah ayat bagi pola ( FN+FSN ) :
Rumahnya disebelah balai Polis.
Rumah merupakan frasa nama manakala di merupakan kata sendi
nama. Manakala balai polis hanyalah prediket ayat.

                        Ayat dasar ini juga mengandungi beberapa ciri iaitu,boleh terdiri dari satu
            klausa utama sebagai satu susunan biasa.Ini kerana ayat dasar terdiri dari satu
            subjek dan satu predikat.Ayat dasar juga bertindak sebagai ayat penyata bagi
            menyatakan sesuatu.Selain itu,ayat dasar juga bertindak sebagai ayat aktif.Ayat
            dasar ini biasanya adalah ayat yang ringkas maka ayat ini berpotensi untuk
            diperluaskan.Ayat ini juga tidak mempunyai kata hubung yang menyambung antara
            dua ayat.